Friday, December 4, 2009

LAHIRNYA PEJUANG AGAMA


Lama saya tidak menulis. Hari ini ada masa terluang, tangan terasa ingin mencoretkan sesuatu...

Zharif Farouqi, anak lelaki kedua ku dari lima beradik, nyenyak beradu... Mimpi apakah dia? Samakah mimpinya dengan mimpiku... Harapan ku... anak ini menjadi manusia sehebat umar al-khattab. lantaran ku selitkan keberkatan alfarouqi dibelakang namanya... Apakah impian ini akan tercapai?

Kadang-kadang aku mengeluh sendirian... Mampukah aku mentarbiyah anak ini menjadi sehebat idolaku... Umar al-Farouqi...

Ya Allah... Perbaikilah akhlak anak-anak ku, anak kaum muslimin....

Ramai ibubapa mengimpikan anak yang soleh.. tapi terlaksanakah impian ini sekiranya berangan tanpa usaha pembentukan akhlak Islamiyyah... Renungkanlah.. wahai anakku...

Wassalam.

Wednesday, February 11, 2009

PERIHAL WANITA DI DALAM AL-QURAN

Pendahuluan

Masih ramai yang menganggap bahawa wanita merupakan makhluk kelas kedua selepas lelaki. Mereka dipandang sebagai satu objek untuk melariskan barang jualan dan menjadi pemuas nafsu lelaki.
Islam telah datang menyelamatkan kedudukan wanita dengan meletakkan taraf yang setara dengan lelaki dari segi peranannya dalam membangunkan tamaddun manusia. Pepatah Melayu menyatakan " Pemuda tiang negara pemudi harapan bangsa". Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

"Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun". (al-Nisaa' :124)

Allah menjadikan lelaki dan wanita berpasang-pasangan dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Mereka hendaklah berperanan mengikut kapasiti yang betul. Lelaki merupakan ciptaan Allah yang kuat dari segi fizikalnya, kasar dan tegas. Sedangkan perempuan kontra sifatnya dengan lelaki, mereka lembut secara fizikal tetapi tabah hatinya. Dari perbezaan inilah wujudnya keserasian dalam hidup berpasang-pasangan. Allah menegaskan dalam surah al-Rum: 21, tujuan diciptakan manusia lelaki dan wanita berpasangan :

"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir"

Kemuliaan Wanita Dalam al-Quran

Al-Quran secara khusus memberi penekanan tentang urusan wanita, sehingga Allah menamakan satu surah dalam al-Quran dengan nama al- Nisa' (Surah Wanita), yang memberi penekanan tentang kepentingan wanita, pengurusan yang berkaitan dengan wanita seperti nikah kahwin dan perceraian. Dinyatakan juga persoalan hak persamaan antara lelaki dan wanita. Al-Quran menjelaskan dalam surah al-Nisa' ayat 32 (maksudnya):

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Ini jelas menunjukkan betapa Allah memuliakan wanita dengan mendatangkan satu "modul" khas sebagai panduan untuk manusia berfikir tentang kepentingan peranan wanita dalam kehidupan mereka.

Peranan Wanita Sepanjang Zaman

Al-Marhum Prof. Dr. Sheikh Mahmood Syaltut( bekas Sheikhul Azhar), menyatakan dalam kitabnya " Min Taujihat al-Islam" jilid 3 : Wanita di setiap zaman mempunyai peranan yang penting dalam sejarah. Sejak Adam diciptakan, Allah mencipta Hawa sebagai teman berbicara. Di zaman Musa a.s, wanita yang berperanan sehingga baginda selamat dari di sembelih oleh Fir'aun ialah ibunya, kakaknya dan isteri Fir'aun yang soleh. Zaman Sulaiman a.s, dijadikan Baiqis sebagai ratu Saba'. Zaman Isa a.s, peranan ibunya sebagai ahli ibadah. Begitu juga Muhammad s.a.w, ditaqdirkan Khadijah bt. Khuwailid menjadi pembakar semangat perjuangan baginda s.a.w.

Wanita Solehah Vs Wanita Dholimah

Allah s.w.t memberi perumpamaan tentang wanita dalam surah al-Tahrim ayat 10-12 :

" Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat Dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman Dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba Yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); Dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke Dalam neraka bersama-sama orang-orang Yang masuk (ke situ)".
Dan Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat Dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah Rumah di sisiMu Dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum Yang zalim";
Dan juga (satu misal Perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) Yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan Dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke Dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang Yang tetap taat"

Penutup

Rasulullah s.a.w mengingatkan tentang fitnah wanita pada akhir zaman. Sabda baginda yang bermaksud : " Tidak ada satu fitnah yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum wanita" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menuntut semua lelaki dan wanita kembali menghayati Islam yang sebenarnya sebagai benteng dari terjerumus ke lembah kehinaan. Jagalah batas-batas pergaulan, Utamakan Allah dalam perhubungan sesama makhluk dan jagalah adab-adab kewanitaan muslimah.
Pepatah mengatakan "Sesungguhnya wanita yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia". Inilah lambang kekuatan yang ada pada wanita. Ramai pemimpin dunia yang perkasa dan kufur tunduk di tangan wanita seperti Fir'aun, Napolean dan LPS…..

Wassalam.

Ustaz Hj. Abu Hisham b. Hj. Yusof al-Besuty
Jabatan Pengajian Islam dan Moral
Institut Perguruan Islam Selangor

Monday, February 2, 2009

Doa buat Adik Mimi Fariha

Salam buat semua pembaca,

Seminggu yang lepas, saya terima satu call dari sahabat lama, Lan(kami sama-sama mengajar di Sek. Sukan Bukit Jalil sekitar 1998-2000). Saya gembira dengan call itu kerana sudah lama tidak mendengar khabar berita. Dalam ketawanya ada khabar pilu... Saya terdiam seketika bila mendengar kisah anak kesayangannya menghidapi kanser tulang pada stage yang kritikal. beliau meminta saya mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Satu doa khusus buat adik Mimi saya hadiahkan untuk tatapan pembaca semua... semoga kita sama-sama membaca doa di bawah ini sebagai tanda sokongan kita kepada adik mimi serta keluarganya:

دعاء سلامة بوات اديق ميمي فريحة
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.اَللَّهُمَّ إِناَّ نَسْتَحْفِظُكَ وَنَسْتَوْدِعُكَ اَدْيَانَناَ وَإِيْمَانَنَا وَأَنْفُسَناَ وَأَمْوَالَنَا وَأَهْلَنَا وَاَوْلاَدَناَ وَكُلَّ شَيْءٍ اَعْطَيْتَناَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْناَ وَإِياَّهُمْ ِفي كَنَفِكَ وَاَمَانِكَ وَجِوَارِكَ وَعِيَاذِكَ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ مَرِيْدٍ وَجَبَّارٍ عَنِيْدٍ وَذٍيْ عَيْنٍ وَذِيْ بَغْيٍ وَشَرِّ مِنْ كُلِّ ذِيْ شَرٍّ. إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
اَللَّهُمَّ جَمِّلْناَ بِالْعَافِيَةِ وَالسَّلاَمَةِ خُصُوصًا لِمِيْمِيْ فَرِيْحَةِ بِنْتِ رُوزْلَنْ (3 كالي). وَحَقِّقْنَا بِالتَّقْوَى وَاْلإِسْتِقَامَةِ وَاَعِدْنَا مِنْ مُوْجِبَاتِ النَّدَامَةِ فِي الْحَالِ وَالْمَأَلِ.إِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءَ. وَاغْفِرْلَناَ وَارْحَمْناَ وَوَالِدِيْنَا وَاِخْوَاننِاَ وَاَحْبَابَناَ فِيْكَ َولِمَنْ اَحَبَّناَ وَلِمَنْ اَحْسَنَ اِلَيْنَا وَلِمَنْ كَانَ حَقَّ عَلَيْناَ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
وَصَلَّ اللَّهُمَّ بِجَمَالِكَ عََلَى رَسُولِكَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.وَارْزُقْنَا كَمَالَ المُتَابَعَةِ لَهُ ظَاهِرًا وَبَاطِناً فِي سَلاَمَةٍ وَعَافِيَةٍ بِرَحْمَتِكَ ياَ اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.





Maksudnya:

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Rahmat dan sejahtera atas junjungan kami nabi Muhammad serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekelian. Ya Alah Ya Tuhan kami! Bahawa sesungguhnya kami memohon pemelihaaan dan penjagaan-Mu akan agama kami,harta benda kami, ahli-ahli kami,anak-anak kami dan segala sesuatu yang dikau telah kurniakan kepada kami, Ya Allah Ya Tuhan Kami! Jadikanlah kami dan juga segala yang telah kami sebutkan tadi di dalam jagaan-Mu, keamanan-Mu, jiran-Mu dan juga lindungan-Mu daripada syaitan yang derhaka lagi degil dan juga lindungan daripada bencana 'Ain (pandangan yang merbahaya). Lindungilah daripada kezaliman dan kejahatan tiap-tiap yang mempunyai kejahatan, bahawasanya Engkau Maha berkuasa mengatasi segala sesuatu.
Ya Allah Ya Tuhan Kami! Serikan wajah kami dengan kesihatan dan keselamatan
( Khusus kami tujukan buat Mimi Fariha bt. Rozelan), teguhkan hati kami dengan melakukan ketaqwaan dan istiqamah, dan lindungi kami daripada segala punca yang membawa kepada kekesalan pada waktu sekarang dan akan datang. Sesunguhnya Engkau (Ya Allah) Maha mendengar segala permohonan. Ampuni dosa kami, Ya Allah, Rahmatilahkami dan kedua ibu bapa kami, saudara mara kami, orang yang kami sayangi, orang yang menyayangi kami kerana Mu, orang yang berbuat baik kepada kami, setiap orang yang ada hak atas kami dan sekelian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat. Mohon limpah rahmat-Mu jua ya Allah, Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat, cucurilah rahmat dan sejahtera kepada Rasul Mu penghulu kami Junjungan kami Nabi Muhammad sallallahu 'alai wasallam dan keluarga serta para sahabat sekelian. Kurniakan kami agar sentiasa patuh mengikuti Rasul sebaik-baiknya samada zahir maupun batin dalam keadaan selamat. Mohon limpah kurnia-Mu jua ya Allah, Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat. Segala puji bagi Allah yang Mentadbir seluruh alam.

Thursday, January 22, 2009

My Album

Sunday, January 18, 2009

Yahudi Tidak Kalah

Assalamualaikum....

Surat khabar hari ini melaporkan Yahudi sudah berundur dari Gaza. Umat Islam bersyukur kepada Allah dengan pengunduran tersebut. Apalah maknanya pengunduran tentera Zionis setelah ribuan umat Islam Palestin dibunuh sewenang-wenangnya. Mereka sebenarnya tidak pernah rasa bersalah kerana membunuh orang Islam. Bahkan bangga melakukannya. Percayalah... Selepas pengunduran ini,umat Islam pun kembali reda mengutuk Israel. Beginilah nasib saudara kita di Palestin, ketika Zionis mengganas, mereka mendapat sokongan dalam bentuk kecaman dan boikot terhadap Israel. Lihat sahaja semasa umat Islam disembelih di Shabra dan Shatila sekitar 1983, serangan terhadap Lebanon dan bermacam kesulitan serta mehnah kepada Palestin,umat Islam seluruh dunia hanya mengecam dan mengecam dan mengecam... tapi tidak pernah mahu berubah dari kehidupan yang diredhai Yahudi kepada Kehidupan Islam yang sebenar. Selagi umat Islam masih meniru gaya hidup mereka selagi itulah mereka tidak pernah gerun dengan kita. Lantaran kita sebenarnya mati. Mati Iman, mati Ilmu, Mati Akhlak dan Mati Amal Islamiy. Rujuklah al-Quran dan al-sunnah (nanti dalam tulisan akan datang,saya akan ulas tentang sejarah yahudi insyaAllah), nescaya kita dapat melihat tembelang yahudi dalam memporak-perandakan umat Islam yang mulia.

Hakcipta Terpelihara 2009. - Hassan Adli | Puncak Jalil Blogger Team