Wednesday, February 11, 2009

PERIHAL WANITA DI DALAM AL-QURAN

Pendahuluan

Masih ramai yang menganggap bahawa wanita merupakan makhluk kelas kedua selepas lelaki. Mereka dipandang sebagai satu objek untuk melariskan barang jualan dan menjadi pemuas nafsu lelaki.
Islam telah datang menyelamatkan kedudukan wanita dengan meletakkan taraf yang setara dengan lelaki dari segi peranannya dalam membangunkan tamaddun manusia. Pepatah Melayu menyatakan " Pemuda tiang negara pemudi harapan bangsa". Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

"Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun". (al-Nisaa' :124)

Allah menjadikan lelaki dan wanita berpasang-pasangan dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Mereka hendaklah berperanan mengikut kapasiti yang betul. Lelaki merupakan ciptaan Allah yang kuat dari segi fizikalnya, kasar dan tegas. Sedangkan perempuan kontra sifatnya dengan lelaki, mereka lembut secara fizikal tetapi tabah hatinya. Dari perbezaan inilah wujudnya keserasian dalam hidup berpasang-pasangan. Allah menegaskan dalam surah al-Rum: 21, tujuan diciptakan manusia lelaki dan wanita berpasangan :

"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir"

Kemuliaan Wanita Dalam al-Quran

Al-Quran secara khusus memberi penekanan tentang urusan wanita, sehingga Allah menamakan satu surah dalam al-Quran dengan nama al- Nisa' (Surah Wanita), yang memberi penekanan tentang kepentingan wanita, pengurusan yang berkaitan dengan wanita seperti nikah kahwin dan perceraian. Dinyatakan juga persoalan hak persamaan antara lelaki dan wanita. Al-Quran menjelaskan dalam surah al-Nisa' ayat 32 (maksudnya):

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

Ini jelas menunjukkan betapa Allah memuliakan wanita dengan mendatangkan satu "modul" khas sebagai panduan untuk manusia berfikir tentang kepentingan peranan wanita dalam kehidupan mereka.

Peranan Wanita Sepanjang Zaman

Al-Marhum Prof. Dr. Sheikh Mahmood Syaltut( bekas Sheikhul Azhar), menyatakan dalam kitabnya " Min Taujihat al-Islam" jilid 3 : Wanita di setiap zaman mempunyai peranan yang penting dalam sejarah. Sejak Adam diciptakan, Allah mencipta Hawa sebagai teman berbicara. Di zaman Musa a.s, wanita yang berperanan sehingga baginda selamat dari di sembelih oleh Fir'aun ialah ibunya, kakaknya dan isteri Fir'aun yang soleh. Zaman Sulaiman a.s, dijadikan Baiqis sebagai ratu Saba'. Zaman Isa a.s, peranan ibunya sebagai ahli ibadah. Begitu juga Muhammad s.a.w, ditaqdirkan Khadijah bt. Khuwailid menjadi pembakar semangat perjuangan baginda s.a.w.

Wanita Solehah Vs Wanita Dholimah

Allah s.w.t memberi perumpamaan tentang wanita dalam surah al-Tahrim ayat 10-12 :

" Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat Dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman Dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba Yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); Dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke Dalam neraka bersama-sama orang-orang Yang masuk (ke situ)".
Dan Allah mengemukakan satu misal Perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat Dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah Rumah di sisiMu Dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum Yang zalim";
Dan juga (satu misal Perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) Yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan Dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke Dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang Yang tetap taat"

Penutup

Rasulullah s.a.w mengingatkan tentang fitnah wanita pada akhir zaman. Sabda baginda yang bermaksud : " Tidak ada satu fitnah yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela (selepas wafatku) terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum wanita" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menuntut semua lelaki dan wanita kembali menghayati Islam yang sebenarnya sebagai benteng dari terjerumus ke lembah kehinaan. Jagalah batas-batas pergaulan, Utamakan Allah dalam perhubungan sesama makhluk dan jagalah adab-adab kewanitaan muslimah.
Pepatah mengatakan "Sesungguhnya wanita yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia". Inilah lambang kekuatan yang ada pada wanita. Ramai pemimpin dunia yang perkasa dan kufur tunduk di tangan wanita seperti Fir'aun, Napolean dan LPS…..

Wassalam.

Ustaz Hj. Abu Hisham b. Hj. Yusof al-Besuty
Jabatan Pengajian Islam dan Moral
Institut Perguruan Islam Selangor

0 comments:

Hakcipta Terpelihara 2009. - Hassan Adli | Puncak Jalil Blogger Team